Got My Cursor @ 123Cursors.com

Wednesday, January 20, 2010

Super Junior Datang ke Malaysia~UtUsAn





DIANGGOTAI 13 jejaka bergaya, kumpulan ini telah mencetus fenomena serta mencipta populariti yang mengagumkan di Korea. Tampil dengan alunan Korea Pop atau dikenali sebagai K-Pop, mereka muncul di persada muzik dengan pakej yang cukup menarik dengan pengawalan vokal bertenaga.
Ditubuhkan pada 2005, sehingga kini kumpulan yang dinamakan Super Junior ini telah pun menghasilkan 19 buah album termasuk pelbagai koleksi album runut bunyi.
Apa yang membanggakan, dikalangan anggota ada yang bukan sahaja mampu bergabung sebagai penyanyi menerusi Super Junior malah berkecimpung dalam dunia lakonan, pengacaraan serta pemuzik.
Super Junior pernah menerima pelbagai anugerah utama antarabangsa seperti di MTV Asia Awards 2008 selaku Artis Pilihan Korea dan Anugerah Muzik Hiburan CCTV 2008. dengan meraih anugerah Album Terbaik serta Kumpulan Paling Popular.
Menjengah ke 2009, Super Junior menambah koleksi penganugerahan di Golden Disk Awards dengan anugerah Album of the Year (Sorry, Sorry), Album Terbaik serta Samsung YEPP Popularity Award.
Justeru, atas populariti dan kejayaan yang diraih, Super Junior bakal bertandang ke Malaysia untuk menjayakan sebuah konsert jelajah Asia memandangkan mereka juga mempunyai peminat yang bukan sedikit di negara ini.
Bakal berlangsung 20 Mac ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, konsert dinamakan Super Junior The 2nd Asia Tour Super Show 2 Live In Malaysia 2010 itu dianjurkan oleh Redstar Presents dan diuruskan menerusi Marctensia serta Warner Music.
Super Junior sebelum ini pernah melawat Malaysia atas undangan menghadiri Anugerah MTV Asia pada dua tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Marctensia, rancangan membawa Super Junior ke Malaysia menjadi realiti selepas beberapa kali mengadakan perbincangan bersama pengurusan artis kumpulan tersebut iaitu SM Entertainment dan penganjur.
Konsert tersebut, jelas kenyataan itu, akan berlangsung pada pukul 7 malam dengan tiket dijual pada harga RM138 dan RM238 untuk ruangan tempat duduk bernombor.
Bagi tiket berharga RM458 pula, penonton boleh memilih tempat duduk bernombor atau kawasan Rock Pitt.
Setiap pembelian dua keping tiket, peminat berpeluang mendapatkan poster edisi terhad Super Junior.
Bagaimanapun, poster berkenaan terhad untuk 500 pembeli tiket terawal sahaja.
“Untuk peminat Super Junior yang ingin mendapatkan tiket dan tempat duduk menarik, tiket akan mula dijual pada 18 hingga 29 Januari ini,” kata kenyataan itu.
Bagi anda yang ingin mendapatkan tiket berkenaan bolehlah ke T- Hop Zone, Tingkat 6, Plaza Sungei Wang, Kuala Lumpur.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai konsert, peminat Super Junior boleh melayari lawan web www.marctensia.com atau www.axcess.com.my dan menghubungi talian 03-2092 1199 (Marctensia) serta 03-7711 5000 (Axcess Ticketing).
Super Junior dianggotai Eunhyuk, Kyuhyun, Donghae, Ryeowook, Hangeng, Heechul, Siwon, Kibum, Kangin, Leeteuk, Yesung, Sungmin dan Shindong.